29.10.08

Kenapa Perlu Ada Pengurusan Islami?

Keperluan terhadap pengurusan berteraskan Islam ini belum dirasai oleh ramai orang dan oleh itu, belum menjadi keutamaan, walaupun banyak pengurusan berasaskan Islam cuba diusahakan. Dalam kebanyakan kes, pengurusan Islami cuba direalisasikan dalam keadaan pengurusannya bercampur aduk dengan pengurusan cara konvensional. Manakala fungsi pengurus kepada pengurusan Islami itu sendiri tidak cuba diangkat sebagai khalifah dan hamba Allah. Pengukur pengurusan yang dipakai pula masih sama dengan pengukur pengurusan konvensional seperti pendapatan per kapita, keluaran kasar negara dan sebagainya yang terikat kuat dengan nilai-nilai kuantitatif dan materialis. Matlamat pengurusan masih tersangkut kepada matlamat pemaksimaan pengeluaran dan kepenggunaan, bukan kepada matlamat merealisasikan perjanjian dengan Allah dan mencari keredhaanNya agar manusia bahagia di dunia dan di akhirat. Pembangunan masih menjadi tuan kepada manusia dan bukan alat manusia membuktikan perjanjian mereka dengan Allah dan alat mencari keredhaan Allah SWT. Malah urusan pembangunan yang dikatakan ‘berteraskan Islam’ itu masih dilingkungi kuat oleh falsafah dan paradigme pengurusan konvensional.

Untuk mengatasi segala permasalahan ini serta merealisasikan satu bentuk pengurusan berteraskan Islam secara efektif dan berjaya, sistem pengurusan berteraskan Islam mestilah dibentuk. Inilah yang menjadi keutamaan Akademi Pengurusan YaPEIM iaitu untuk mengangkat dan memartabatkan pengurusan Islami.

Kita lihat bahawa pengurusan Islami ini juga releven dan perlu kerana pengurusan Islami mampu mengimbangi sistem pengurusan konvensional yang agak ekstream. Sebagai contohnya, sistem pengurusan ala Bushido Samurai yang mempergunakan sumber daya insan secara maksima sehingga terabai fitrah kemanusiaan. Manakala sistem pengurusan kapitalisme pula mementingkan produktiviti melebihi segalanya. Begitu juga dengan komunisme yang berjiwa bebas sehingga menerobos hak dan kepentingan orang lain. Pada masa yang sama, hak-hak kemanusian terhadap Penciptanya tidak ditekankan pada hal manusia terikat secara langsung dengan Penciptanya dalam setiap urusan.

Keterikatan manusia dengan Penciptanya Yang Maha Agung dapat dilihat dari sudut pengurusan Islami yang mana manusia bekerja untuk kepentingan diri dan masyarakat tanpa mengabaikan fungsinya sebagai khalifah dan hamba Allah. Melalui dwi-fungsi inilah menjadikan Pengurusan Islami sebagai terbaik kerana akan wujud kesederhanaan dalam pengurusan dan tidak lagi menjadikan manusia sebagai pelahap yang mengaut keuntungan semata-mata. Malah manusia bekerja dan meningkatkan keuntungan demi kesejahteraan di dunia dan Akhirat.

Konsep dan nilai yang digunapakai dalam pengurusan Islami juga sesuai pada semua tempat dan keadaan. Ini terserlah dengan wujudnya budaya hormat-menghormati, saling menyayangi, berkerja sama dan sebagainya. Malah, tepat sekali kalau kita gambarkan bahawa Pengurusan Islami ini sebagai universal dan antarabangsa yang mana adalah menjadi asas Islam, tidak mementingkan sesuatu kaum dengan kaum yang lain dan juga tidak melihat warna kulit seseorang. Dengan kata lain, Islam tidak berdiskriminasi dalam hal pengurusan. Siapa yang paling layak itulah yang akan diletakkan pada tempatnya.

Dua sumber utama Islam, al-Quran dan Sunnah Nabawi adalah tunjang utama kepada Pengurusan Islami. Kedua-duanya merupakan wahyu dari Pencipta, Yang Maha Mengetahui keadaan manusia yang diciptaNya. Kedua-duanya itu juga berfungsi sebagai penunjuk jalan kepada kehidupan manusia serta penghalang kepada kesesatan.

Maka, tanpa ragu-ragu, Pengurusan yang berasaskan Islam ini perlu dikembangkan dan digunapakai di semua institusi dan organisasi supaya masalah yang melibatkan pengurusan ini dapat diselesaikan.
 

blogger templates | Make Money Online